Make your own free website on Tripod.com

CERAMAH keADILan BAHAGIAN KUANTAN DI INDERA MAHKOTA I, KUANTAN
21 OKTOBER 1999

Satu lagi majlis ceramah Parti Keadilan Nasional Bahagian Kuantan berjaya dianjurkan pada malam ini dengan kehadiran lebih kurang 1,000 orang penyokong. Penceramah-penceramah yang hadir pada malam ini adalah Saudara Osman Talib, Ketua keADILan Bahagian Rompin, Saudara Yahya Shahri, Setiausaha Perhubungan keADILan Negeri Selangor dan Puan Intan Rohani Tan, Ketua Wanita keADILan Negeri Kelantan. Majlis ceramah pada malam ini adalah anjuran Pergerakan Pemuda keADILan Bahagian Kuantan bersama dengan keADILan Bahagian Kuantan.

Ceramah dimulakan dengan ucapan Saudara Osman Talib selaku pembuka majlis. Saudara Osman Talib mengucapkan syabas dan tahniah kepada keADILan Bahagian Kuantan khususnya Pemuda Bahagian Kuantan kerana terus berjaya mengadakan siri-siri ceramah keADILan di daerah Kuantan ini. Beliau mengharapkan supaya siri-siri ceramah ini diterus dan diperbanyakkan lagi. Beliau menegaskan bahawa keADILan akan terus berjuang menegakkan kebenaran di bumi Malaysia ini dan bersama-sama dengan barisan alternatif yang lain akan terus menentang Barisan Nasional SECARA SATU LAWAN SATU!!!

Pidato hangat malam ini diteruskan lagi dengan Puan Intan Rohani Tan. Puan Intan menegaskan bahawa aibnya Saudara Anwar, terhinanya Saudara Anwar yang tersebar ke seluruh dunia bukanlah hanya tertimpa kepada Saudara Anwar seorang dan keluarganya sahaja. Dengan aib dan terhinanya Anwar, maka aiblah juga agama Islam, maka aiblah juga sebuah bangsa, maka aiblah juga sebuah negara yang bernama Malaysia. Oleh itu, antara iltizam keADILan adalah memperjuangkan nama baik dan maruah agama Islam, bangsa Melayu dan negara Malaysia, perjuangan untuk agama, bangsa dan negara. Amatlah malang jika masih ada rakyat khususnya di daerah Kuantan ini yang masih sanggup untuk dibuai dengan pemberian beras, kain pelikat mahu pun wang ringgit dan tidak mengindahkan kezaliman yang nyata di depan mata.

Majlis ceramah pada malam ini diakhiri dengan ucapan penutup oleh Saudara Yahya Shahri. Saudara Yahya memberi satu analogi yang ringkas. Kerajaan Barisan Nasional mengatakan bahawa jika BN kalah, huru-hara akan berlaku di Malaysia. Selama sembilan kali pilihanraya dijalankan di Malaysia, parti pembangkang sedia ada (PAS, DAP dan PRM) tidak pernah menang, maksudnya sentiasa kalah kecuali di peringkat negeri dan tidak ada huru-hara berlaku. Maka sekali ini, jika BN kalah, sekali BN kalah, huru-hara akan berlaku; PAS kalah, DAP kalah, PRM kalah, tiada huru-hara berlaku (sembilan kali, BN kalah (sekali), huru-hara akan berlaku, maka siapa sebenarnya penyebab huru-hara ini? Andaiannya secara logik tentulah BN. Indonesia telah membuktikannya, Kiai Abdurrahman Wahid (Gus Dur) dari Nahdatul Ulama' diangkat menjadi Presiden yang baru, Megawati dari PDI-P sebagai Timbalan Presiden dan Amien Rais dari Parti Amanat Nasional sebagai Speaker MPR tanpa sebarang kejadian huru-hara walaupun parti dominannya, Golkar (UMNO/BN Indonesia) tercampak dan tersisih. Kalau Indonesia yang mempunyai 200 juta penduduk itu, dengan perbezaan taraf hidup di antara yang makan dan tidak makan langsung boleh melakukan perubahan secara aman, kenapa tidak Malaysia? Yang hanya mempunyai 20 juta penduduk dan perbezaan taraf hidupnya hanyalah di antara yang makan di gerai dan makan di hotel, maksudnya semua boleh makan. Ucapan Saudara Yahya diakhiri dengan laungan LAWAN TETAP LAWAN!!! LAWAN SAMPAI MENANG!!!

keadilan_bk@hotmail.com