MANIFESTO BERSAMA
Parti Islam SeMalaysia (PAS)
Parti Keadilan Nasional (KeADILan)
Parti Rakyat Malaysia (PRM)
Parti Tindakan Demokratik (DAP)


KE ARAH MALAYSIA YANG ADIL
Cabaran Terbesar Sejak Kemerdekaan
Dengan beberapa perkembangan dewasa ini, jelaslah bahawa cabaran terbesar yang dihadapi seluruh rakyat Malaysia ialah usaha melahirkan sebuah negara yang adil dan demokratik.


Krisis Politik
Di negara kita kini, telah terdiri sebuah sistem pemerintahan yang memusatkan kuasa pada pihak eksekutif amnya dan, dengan cara tertentu yang bermuslihat, pada seorang individu sahaja khususnya. Dengan itu, sistem 'sekatan dan imbangan' (checks and balances) telah dilumpuhkan. Apabila kuasa dijadikan milik peribadi seperti itu, maka:

kepentingan pihak berkuasa diutamakan, kepentingan rakyat diketepikan;
pihak berkuasa menentukan segala-galanya, termasuk apa yang kononnya merupakan kepentingan rakyat;
daya upaya rakyat pastilah akan musnah; pencabulan hak asasi manusia berleluasa;
pihak yang berkuasa tidak lagi menghormati dan tidak mengendahkan pandangan pihak-pihak lain yang tidak sehaluan dengannya dan melemparkan berbagai tohmahan terhadap mereka, termasuk tuduhan yang direka;
yang lebih diutamakan daripada segala-galanya ialah kesetiaan membuta tuli terhadap para pemimpin, meskipun para pemimpin itu terbukti salah; dan
prinsip dan amalan ketelusan awam tidak dipedulikan lagi oleh pemerintah.

Kezaliman, Korupsi, Kronisme dan Nepotisme
Inilah sebabnya KEZALIMAN, KORUPSI, KRONISME dan NEPOTISME telah menjadi-jadi di negara ini sejak beberapa tahun yang lalu. Untuk menyembunyikan dan melindungi segala dosa tersebut, maka terpaksalah golongan yang berkuasa itu melakukan penipuan dan berdusta kepada rakyat. Mulai tahun 1980an, DEB dijadikan alasan untuk melakukan pilih kasih (kronisme) dan pilih keluarga (nepotisme) dalam perniagaan dan politik. Memang tidak boleh dinafikan bahawa ramai rakyat Malaysia, terutamanya daripada kaum Bumiputera Melayu, telah mendapat faedah daripada DEB. Tetapi kronisme dan nepotisme dewasa ini bukan demi perlaksanaan DEB, malah telah banyak menguntungkan beberapa kroni, termasuk bukan Bumiputera Melayu, yang cuba berselindung di sebalik DEB. Fitnah terhadap musuh-musuh politik telah menjadi amalan yang biasa di kalangan golongan pemerintah, dan makin bertambah menonjol dengan krisis politik dewasa ini.