Krisis Ekonomi
Krisis kini menjadi lebih runcing memandangkan Malaysia belum lagi bersedia menghadapi pasaran global yang makin mencabar dan bersaingan akibat keengganan pemerintah melaksanakan reformasi ekonomi dan politik yang tulen. Masa depan negara bergantung kepada daya saing dan keupayaan kita menembusi pasaran global. Satu sistem pentadbiran dan pengurusan syarikat (corporate governance) dalam satu rangka pengawasan yang telus, tegas dan bebas daripada campurtangan politik yang tidak wajar dan berkepentingan, amat mendesak untuk mewujudkan ekonomi yang kukuh. Amalan korupsi, kronisme dan nepotisme di bawah pemerintahan BN hanya melumpuhkan ekonomi dan daya saingan kita di tahap antarabangsa di samping
menggadaikan masa depan ekonomi, rakyat dan negara. Di samping itu, pemerintahan BN sedang menyalahgunakan perbelanjaan kerajaan untuk memeras ugut dan 'membeli' rakyat menjelang pilihanraya. Hasil kerajaan berpunca daripada usaha, kerja dan pendapatan rakyat, bukan milik parti BN. Maka, rakyat berhak terhadapnya, dan BN tidak berhak langsung menyalahgunakannya mengikut nafsu dan demi kepentingan kuasa mereka.

Pencabulan Hak Asasi
Pemerintahan BN telah banyak menyimpang daripada prinsip-prinsip dan hak-hak asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia. Berbagai undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), Akta Polis, dan sebagainya telah menafikan hak asasi rakyat untuk bersuara, berkumpul secara aman dan berpersatuan. Segalanya bergantung kepada sukahati pihak yang berkuasa. Malah, hak rakyat
merujuk ke mahkamah pun dinafikan atau disanggah. Dewasa ini, disiplin polis telah banyak merosot akibat penyalahgunaan kuasa pucuk pimpinan negara, yang membawa kepada penyelewengan, termasuk keganasan polis terhadap rakyat jelata, terutamanya golongan yang lemah. Penyelewengan demikian ini jelas mencerminkan lagak samseng pucuk pimpinan pemerintahan, yang tidak menghormati hak asasi rakyat walaupun dijamin dalam Perlembagaan Malaysia.

Krisis Akhlak
Pemusatan kuasa dan kekayaan dalam tangan segelintir pemimpin tertinggi negara telah menyebabkan keangkuhan golongan berkuasa sehingga mereka sanggup melakukan apa sahaja tanpa segan-silu, tidak kira benar atau palsu, betul atau salah, asalkan kuasa mereka berkekalan. Tahap akhlak di kalangan golongan pemerintah pada umumnya telah mengalami kadar kemerosotan yang amat menggerunkan. Golongan pemerintah bukan sahaja sudah hilang kewibawaan moral, malah tidak dapat diharapkan lagi untuk menjadi penyalur kemurnian akhlak kepada generasi yang akan datang. Golongan muda sudah berasa
kecewa; mereka tidak lagi menghormati para pemimpin yang ada.

Krisis Kewibawaan
Sistem pemerintahan telah memusnahkan kewibawaan pelbagai institusi masyarakat seperti parlimen, kehakiman, perkhidmatan awam, polis dan media yang dipertundukkan kepada kehendak pemimpin-pemimpin tertentu. Ini mendatangkan kesan yang buruk terhadap kesejahteraan rakyat Malaysia pada umumnya, malah telah menggugat keyakinan para pelabur, dari dalam dan luar negeri. Sebenarnya, hanya perubahan pemerintahan ke arah yang adil, bersih, cekap, jujur dan berkebolehan akan dapat memulihkan kewibawaan pemerintah dan kepercayaan orang ramai, menyatupadukan rakyat dan memajukan semula bangsa dan negara.

[Sebelum][Laman Asal]