tor pertanian pada keseluruhannya, dan nasib serta masalah pekebun kecil khasnya. Kami akan perbetulkan ini dengan tumpuan yang wajar kepada sektor asas ini, yang sebenarnya telah menyelamatkan ekonomi Malaysia ketika kegawatan ekonomi melanda.

Oleh kerana itu, Malaysia perlu:
Mengutamakan pembangunan pertanian untuk meningkatkan pengeluaran makanan demi keselamatan dan kestabilan negara;
Mempertingkatkan penyelidikan pertanian, khususnya teknologi tinggi, makanan serta kegunaan industri hasil tanaman di Malaysia;

Menggubal undang-undang demi melindungi kepelbagaian alam (biodiversity) dalam bidang pengeluaran pertanian dan perhutanan, serta mempertingkatkan penyelidikan kegunaan industri bahan kepelbagaian alam;

Mengkaji semula rancangan-rancangan FELDA, FELCRA, RISDA, MAJUIKAN serta badan-badan kemajuan pertanian dan perikanan lainnya untuk membaiki pengurusan dan teknologinya demi memanfaatkan para peneroka, petani dan nelayan;

Menyusun semula monopoli pemerintah yang menelan sumber ekonomi kerajaan supaya menjadi badan yang lebih cekap, berkesan dan sesuai dengan pasaran;

Melaksanakan dengan tegas undang-undang pengasingan kawasan perikanan supaya melindungi nelayan kecil daripada pencerobohan bot besar dan pukat yang merosakkan punca perikanan tepi pantai;

Membangunkan lebih banyak tanah terbiar untuk meningkatkan pembangunan pertanian.

1.2.3.  Teknologi dan ekonomi maklumat untuk semua
Rakyat Malaysia menyedari teknologi maklumat (IT) telah muncul dengan cepat sebagai bidang yang amat penting dan dinamik dalam ekonomi global, sedangkan pimpinan Mahathir telah banyak memberi perhatian kepadanya. Akan tetapi, masih terdapat beberapa jurang yang amat luas, misalnya di antara bandar dan luar bandar, yang mesti diatasi supaya kita tidak akan ketinggalan zaman dengan kesan yang malang bagi mereka yang tertinggal.

Oleh demikian, kami akan berusaha:

Mempercepatkan penyambungan infrastruktur telekomunikasi ke seluruh pelusuk negara dan mengurangkan kos penggunaannya bagi rakyat jelata;

Mengembangkan pendidikan teknologi maklumat (IT) di semua sekolah dari sekolah rendah;

Merancang semula pengenalan teknologi maklumat (IT) kepada masyarakat umum dengan lebih berkesan;

[Sebelum][Laman Asal]